srimuda.blogspot.com

Syndicate content
Admin Sri Mudahttp://www.blogger.com/profile/15811681583491285470noreply@blogger.comBlogger2019125
Updated: 1 day 3 hours ago

Kenyataan Media:Peruntukkan RM10 Juta Bina Infrastuktur Untuk Pam Air Ke Sungai Selangor

23 April 2014 - 4:39pm
KENYATAAN MEDIA23 APRIL 2014PERUNTUKKAN RM10 JUTA BINA INFRASTRUKTUR UNTUK PAM AIR KE SUNGAI SELANGOR 
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri  (MMKN) hari ini meluluskan peruntukkan sebanyak RM10 juta bagi membina infrastruktur bagi kerja-kerja mengepam air dari bekas lombong atau kolam sekitar Lembangan Sungai Selangor ke Sungai Selangor.
Peruntukkan ini termasuk membeli pam-pam berkeupayaan tinggi bagi memastikan kerja-kerja pengepaman ini memberi kesan maksima dan mampu meningkatkan paras air di Sungai Selangor.
Infrastruktur ini juga akan digunakan bagi mengepam air Sungai Selangor ke kolam takungan apabila paras air sungai mencapai paras normal sebagai persediaan menghadapi musim kering berlanjutan yang diramal akan berlaku antara akhir Mei sehingga September tahun ini.
Setakat jam 8 pagi ini, paras air di Empangan Sungai Selangor masih berada di bawah paras kritikal iaitu 38.97 peratus dengan jumlah takungan 89.63 juta liter padu.
Walaupun empangan lain terus menunjukkan peningkatan melebihi paras 50 peratus namun empangan-empangan ini hanya membekalkan sebahagian kecil air kepada penguna berbanding Empangan Sungai Selangor yang membekalkan kira-kira 60 peratus keperluan pengguna di Lembah Klang.
Seperti yang telah diumumkan semalam, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti usaha-usaha untuk menambah bekalan air mentah dan sekiranya hasilnya positif, kita bersedia untuk mengkaji semula pelan catuan air yang telah dimulakan sejak Mac lalu.
Kita berharap rakyat terus bersabar dan memberi kepercayaan kepada Kerajaaan Negeri dalam menyelesaikan masalah ini termasuklah usaha kita membuat persiapan awal bagi memastikan simpanan air mentah mencukupi dalam  menghadapi musim kering yang dijangka berlanjutan antara lima hingga enam bulan. 
Kerajaan Negeri akan mengadakan sidang akhbar setiap dua hari sekali untuk memaklumkan perkembangan semasa bekalan air mentah bermula pada Jumaat ini yang akan dikendalikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, YB Dr Yunus Hairi,  Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).
YAB TAN SRI  DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIMDATO' MENTERI BESAR SELANGOR
Categories: Blog ADUN

TPPA Merupakan Agenda Obama Ke Malaysia

23 April 2014 - 9:55am



Putrajaya mengakui Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) antara agenda utama yang akan dibincangkan dalam lawatan tiga hari Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia hujung bulan ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bagaimanapun menegaskan tiada sebarang persetujuan akan ditandatangani semasa lawatan tersebut.

"Sudah pasti ia menjadi agenda utama yang akan dibincangkan," kata Mustapa semasa taklimat dengan media di pejabatnya hari ini.

"Tapi tiada sebarang perjanjian akan ditandatangani."

Mustapa menolak sama sekali khabar angin mengatakan lawatan Obama ke Malaysia bertujuan untuk memberi tekanan kepada Malaysia menandatangani perjanjian perdagangan kontroversi itu.

Menurut Mustapa, beberapa perkara berbangkit masih lagi dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan.
TPPA merupakan inisiatif membentuk kawasan perdagangan bebas (FTA) di kalangan 12 negara yang berjumlah 800 juta penduduk dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Malaysia menyertai TPPA sebagai anggota perunding penuh pada pusingan ke-3 yang diadakan di Brunei pada Oktober 2010 lalu.

Rundingan terakhir diadakan di Singapura pada Februari lalu tetapi keputusan muktamad masih buntu setakat ini.

Kontroversi TPPA mendapat perhatian banyak pihak, antaranya kumpulan sivil, pertubuhan bukan kerajaan dan juga pembangkang.

Lawatan ini akan digunakan sebaiknya untuk Malaysia berkongsi pandangan mengenai halangan yang dihadapi dalam perjanjian tersebut, kata Mustapa.

"Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib akan berkongsi halangan yang kita hadapi dalam perbincangan ini dengan Obama. Itu sahaja yang boleh saya katakan," kata beliau.

Kali terakhir Malaysia menerima lawatan Presiden Amerika Syarikat ialah pada 1966, oleh Presiden Lyndon Johnson.

Mustapa berkata beberapa isu berbangkit masih lagi belum diselesaikan dan memberi jaminan kajian manfaat kos TPPA akan dibentangkan sebelum sebarang perjanjian tersebut dimuktamadkan.

"PM mengarahkan ia dibincang ke Parlimen. Kami akan bawa ia ke Parlimen," kata Mustapa.
Analisis itu, terbahagi kepada dua seksyen, dilaksanakan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Jabatan Perdana Menteri.

Beberapa halangan dikenalpasti dalam perbincangan TPPA, menurut Mustapa, beberapa perkara yang masih menjadi pertikaian antaranya mengenai polisi, isu perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan agenda Bumiputera.

"Isu-isu umum dan melibatkan orang awam masih lagi dibincangkan," kata Mustapa.

Termasuk Malaysia, 12 negara lain yang terlibat dalam rundingan rahsia TPPA adalah AS, Australia, Brunei, Chile, New Zealand, Peru, Singapura, Jepun, Vietnam, Mexico dan Kanada.

Peningkatan bantahan beberapa badan bukan kerajaan termasuk Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) terhadap TPPA menyebabkan Putrajaya mengambil keputusan menangguhkan sebarang keputusan muktamad sehingga selesai dua analisis kos manfaat terhadap kesannya ke atas kebajikan nasional dan industri kecil dan sederhana Bumiputera. – 22 April, 2014.
Categories: Blog ADUN

Adun Sri Muda Bidas Menteri Belia & Sukan

22 April 2014 - 10:57am
SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie menasihati Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin agar fokus kepada menangani masalah bola sepak yang dakwanya tercorot di dunia bukannya menyibuk dalam isu catuan air Selangor.Semua pihak termasuk Khairy perlu akur bahawa masalah bekalan air di Selangor berlaku akibat musim kemarau dan ia di luar kawalan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor, tegas Shuhaimi."Atasi masalah bola sepak negara yang merudum, yang turun ke peringkat paling corot dalam dunia pada ketika ini."Isu air ini biarlah menteri-menteri lain urus dan kalau menteri Tenaga yang cakap saya boleh terima tetapi menteri belia yang cakap tak usahlah memancing kepentingan politik dalam keadaan semasa ini kerana ia tidak membantu," katanya kepada Antarapos baru-baru ini.Khairy baru-baru ini mendesak agar kerajaan negeri menghantikan pemberian air secara percuma kepada rakyat sebaliknya fokus kepada bagaimana mahu memastikan bekalan air di Selangor kembali pulih.Shuhaimi meminta agar semua pihak tidak terus menuding jari kepada kerajaan negeri sebaliknya melihat punca yang membawa kepada keputusan melaksanakan program catuan air yang kini memasuki fasa keempat."Jadi isunya, kalaupun kita boleh bersetuju untuk ditamatkan program 20 meterpadu air percuma ini ia tidak membantu untuk menamatkan musim kering."Jadi, tak usahlah manipulasikan dan saya mencadangkan kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin fokuslah kepada bidang sukan dan tak perlu campur sangat urusan-urusan soal air dan urusan selain dibawah bidang kuasa dia," katanya.Beberapa pemimpin termasuk Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dilaporkan mengkritik kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim kerana gagal mengatasi masalah itu walau diberi amaran oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sebelum ini.SYABAS sebelum ini memaklumkan unjurannya mendapati bekalan air Selangor hanya mampu bertahan sehingga 2014 namun ditepis Khalid apabila berkata negeri itu mempunyai bekalan air yang mencukupi sehingga 2019.Shuhaimi tidak pula mengulas perkara tersebut sebaliknya mengajak pelbagai pihak mengkaji alternatif yang ada untuk memastikan permasalah itu dapat di atasi."Yang paling berkesan ialah semua kerajaan negeri yang ada di negara kita ini dan juga kerajaan persekutuan harus mengkaji bagaimana cara untuk menyimpan air dalam kadar yang lebih besar mungkin melalui empangan-empangan, kolam-kolam yang boleh diwujudkan sesama negeri-negeri berjiran supaya masalah air ini pada masa akan datang boleh kita tangani dengan baik dan kalau timbul keadaan seperti perubahan cuaca seperti yang kita alami sekarang," katanya.Semalam SYABAS memaklumkan program catuan air fasa keempat dijadualkan berakhir pada 30 April ini. Bagaimanapun segala keputusan bersabit isu itu akan diputuskan kerajaan negeri dan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN).antarapos
Categories: Blog ADUN

Selepas 6 Tahun Dijuangkan Akhirnya Pasar Moden Taman Sri Muda Dilaksana

21 April 2014 - 10:20am


SHAH ALAM 19 APRIL: Kerajaan Selangor meluluskan peruntukan berjumlah RM23 juta untuk pembinaan pasar moden baru di Taman Sri Muda.

Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang membawa isu ini sejak enam tahun lalu kepada Kerajaan Negeri untuk tindakan nyata lega dan gembira dengan perkembangan ini.

Katanya, apa yang penting satu surat hitam putih perlu dikeluarkan bagi memudahkan beliau memaklumkan kepada peniaga dan penduduk setempat.

“Terima kasih kepada Menteri Besar dan Exco kerana meluluskan satu pembinaan pasar baru moden untuk Taman Seri Muda.

“Ia mesti dilaksanakan dan dimulakan Jun ini.

“Kita mengharapkan 2016 siap sepenuhnya dan boleh digunakan oleh penduduk dan peniaga,” katanya kepada Selangor Kini.

Shuhaimi berkata, pasar ini dimulakan sejak tahun 2013 dan 48 unit kedai mengalami kebakaran baru-baru ini yang berpunca daripada litar pintas.

Pada awal tahun ini, Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Teng Chang Kim dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan mengadakan lawatan ke pasar berkenaan dan keputusan untuk membina pasar baru dimuktamatkan pada Februari.

Pasar sedia ada mempunyai 170 unit kedai dengan jumlah 150 orang peniaga.

EZY
Categories: Blog ADUN

Teras ke-3 KeadilanRaya :Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara dalam pembentukan Malaysia.

21 April 2014 - 10:15am


PETALING JAYA: Penyandang Timbalan Presiden PKR Azmin Ali melancarkan kempennya bagi mempertahankan jawatannya itu dengan melancarkan gagasan ‘Keadilan Raya’.

Azmin, yang berdepan cabaran empat penjuru dalam perebutan jawatan kedua tertinggi PKR itu, ketika melancarkan kempennya malam tadi berkata tema ‘Keadilan Raya’ diketengahkannya sebagai satu usaha untuk mengembalikan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Perkataan ‘Raya’ berasal dari perkataan Sanskrit yang membawa maksud, antaranya, besar, megah, hala tuju, merangkul kesemua (inklusif) dan ketegasan. Maka tidak menghairankan, para pejuang kemerdekaan nusantara seperti Ibrahim Yaacob, Burhanudin al Helmy, Gandhi, Okakura Tenshin, Rabindranath Tagore dan Soekarno berkobar-kobar tatkala membicarakan Gagasan Melayu Raya, Indonesia Raya dan Asia Raya.

“Ia bukan sahaja menjadi slogan akan tetapi suatu ideologi politik, untuk menyatu padukan seluruh rakyat yang bangkit menentang penjajahan.

“Makanya, Keadilan Raya juga adalah kesinambungan atas cita-cita tersebut. Memastikan setiap rakyat Malaysia, samada orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan menikmati kemakmuran negara yang kita cintai ini,” terang Azmin dalam ucapannya  di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam.

Beliau yang juga ahli parlimen Gombak turut menegaskan bahawa pembentukan puak dan pasukan akan menyebabkan PKR ‘hancur berantakan’.

“Bagi saya, seluruh anggota parti adalah pasukan saya di bawah naungan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kenapa kita perlu mencipta kuasa ketiga (dalam parti)? Apa yang kita perlukan hanyalah satu kuasa dan kuasa itu ialah keadilan,” tambahnya lagi.

Dalam masa yang sama, Azmin sekali lagi menegaskan bahawa PKR merupakan parti berbilang kaum yang melindungi kepentingan semua rakyat Malaysia.

“Sebagai Timbalan Presiden, saya telah menjelajah ke Ba’ Kelalan, Sarawak, ke Melalap di Tenom,  merentasi Banjaran Croker, Sabah.

“Saya bertentang mata dengan orang Iban di Rumah Panjang Nanga Budu, Saratok, orang Kadazan di Kampung Pilantong, Lanok, Beluran.

“Saya memasuki kampung, estet dan kampung  baru untuk menyelami hati nurani orang Melayu, India dan Cina.

“Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa Keadilan (PKR) bukan parti Melayu. Keadilan adalah parti seluruh anak Malaysia,” tegasnya.

Pelancaran kempen Azmin itu dihadiri lebih 400 ahli parti termasuk pemimpin-pemimpin parti dari ‘kem’ Azmin sendiri, Ahli Parlimen (MP) Ampang Zuraidah Kamaruddin, MP Bukit Katil Shamsul Iskandar Md Akin, MP Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian, MP Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid, MP Kapar G Manivannan, ADUN Batu Caves Amiruddin Shari dan ADUN Sri Andalas Dr Xavier Jayakumar, Exco Selangor Dr Daroyah Alwi, ADUN Taman Medan Haniza Talha.

FMT
Categories: Blog ADUN

Keadilan Raya: "What We Need Is Just One Force" - Timbalan Presiden

17 April 2014 - 9:30am

 
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali merasmikan kempen mempertahankan jawatannya menjelang pemilihan parti itu tidak lama lagi, malam tadi dengan tema Keadilan Raya yang membawa mesej ideologi politik berbilang kaum.

Azmin mengulangi pendirian sama dengan berkata, parti tersebut bukan eksklusif untuk kaum Melayu dan dilihat mengkritik seorang lagi calon, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang sebelum ini mengatakan PKR merupakan parti berteraskan Melayu, baru-baru ini.

"Saya ingin tegaskan sekali lagi Keadilan bukan parti Melayu.

"Keadilan adalah parti seluruh anak Malaysia," kata Azmin di hadapan penyokong dan anggota parti yang memenuhi Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Azmin sebaik sahaja melangkah masuk ke dewan disambut dengan laungan "reformasi" dan menerima tepukan gemuruh daripada penyokongnya.

"Kita tidak melihat warna kulit atau keturunan, tetapi melihat hati nurani dan moral manusia," katanya.

Ahli Parlimen Gombak itu menggariskan tiga aspek dalam tema kempen dibawanya iaitu membela hak rakyat Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan, menjamin kesaksamaan dan mengagihkan ekonomi serta kekayaan secara adil kepada dua negeri Borneo, Sabah dan Sarawak.



"Seluruh rakyat Malaysia dilindungi hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan setiap warganegara adalah sama rata dan tiada sesiapa pun adalah warga kelas kedua," katanya.

Azmin berkata, konsep idea yang dibawanya itu mampu memacu pembangunan dan memperbaiki ekonomi.
"Konsep pembangunan yang dibawa oleh Keadilan Raya adalah memacu pertumbuhan ekonomi dengan menjamin prinsip pengagihan yang adil atau distributive justice," katanya.

Katanya, beliau minta budaya politik berpuak-puak dielakkan dalam PKR.

"Justeru itu, kita perlu mengelakkan factionalism, alliance atau gabungan yang akan menyebabkan parti yang kita sayangi hancur berantakan," katanya.

Ketika melancarkan kempen tersebut, Azmin turut menyatakan komitmen setia dan bekerja bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menjamin masa depan parti tersebut.

"Bagi saya, seluruh anggota parti adalah pasukan saya di bawah naungan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kenapa kita perlu mencipta third force? What we need is just one force. Only one! That is the force of PKR," katanya.

Azmin sekali lagi menekankan corak politik baru yang dibawa PKR berbeza dengan parti lawan daripada Barisan Nasional (BN).

"PKR dibentuk untuk menolak politik lama yang jelek. Kita membawa politik baru yang berteras nilai-nilai murni sejagat. Justeru, perlu ada kesetiaan kepada parti sebagai wadah perjuangan.

"Maka, saudara saudari sebagai pejuang PKR yang tegar perlu bertekad untuk menjayakan demokrasi. Pilihlah kepimpinan yang tegas, teruji, wibawa dan setia," katanya.

Azmin berdepan dengan persaingan sengit untuk mengekalkan jawatan timbalan presiden yang dimenanginya pada 2010, apabila bakal dicabar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Saifuddin yang juga naib presiden PKR, serta pesaing ketiga, ahli PKR cawangan Hulu Selangor, Datuk K Ramachandran.

Pada majlis pelancaran kempen semalam, beberapa pemimpin utama dan berpengaruh dalam PKR turut hadir memberikan sokongan kepada Azmin antaranya penyandang Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mat Akin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar; Khalid Jaafar; dan calon ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Amiruddin Shaari. – 17 April, 2014.

TMI
Categories: Blog ADUN

Rest In Peace Tiger Of Jelutong

17 April 2014 - 8:40am

Ahli parlimen Bukit Gelugor dan peguam kanan Karpal Singh maut dalam kemalangan di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara di Kampar awal pagi ini.Pembantu peribadi beliau, Michael Cornandez turut maut dalam kemalangan itu yang membabitkan kenderaan serbaguna (MPV) yang dinaiki mereka dengan sebuah lori dalam perjalanan menuju utara berhampiran Gua Tempurung.

Anaknya Ram Karpal dan pemandu kereta itu dilaporkan cedera.Gambar di kawasan kemalangan menunjukkan kenderaan yang dinaiki Karpal rosak teruk.Seorang jurucakap polis memberitahu Malaysiakini kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Alphard tersebut merempuh lori yang menukar laluan tanpa memberi isyarat.Karpal, 74, menjadi lumpuh dan menggunakan kerusi roda selepas terbabit dalam satu kemalangan pada 2005.
Ahli politik lantang ini mendapat ijazah perundangan dari Universiti Singapura dan berkhidmat sebagai peguam sebelum bertanding kerusi Parlimen pada tahun 1978.Perkhidmatan lama beliau sebagai MP Jelutong sebelum ini serta ucapan berapi di Dewan Rakyat menyebabkan beliau digelar 'Harimau Jelutong'.Karpal melepaskan jawatan Pengerusi DAP baru-baru ini selepas didapati bersalah dalam kes hasutan.Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah melalui laman sosial twitter."Saya baru mendarat di Ankara (Turki) apabila mendapat khabar YB Karpal terbunuh dalam kemalangan jalan raya. Takziah kepada keluarga beliau," tulis twit tersebut.
Sementara itu, Bernama memetik Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata Karpal dan Cornelius, 40-an, maut di tempat kejadian.
  
Selain itu, katanya, pembantu rumah Karpal Singh, seorang wanita warga Indonesia cedera parah dan mengalami pendarahan di bahagian otak sementara anak lelaki Karpal, Ram Singh, 38, dan pemandu kenderaan MPV tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan pada pukul 12.40 pagi itu.
  
"Siasatan awal polis mendapati kenderaan MPV jenis Toyota Alphard berwarna putih yang membawa lima penumpang termasuk Karpal Singh, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan apabila tiba di kawasan kejadian dan melanggar bahagian kanan lori yang sedang bergerak di sebelah kiri
laluan itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
  
Beliau berkata lori lima tan yang membawa muatan simen, besi dan mozek itu dipercayai bergerak perlahan di sebelah kiri laluan ke utara itu memandangkan ia membawa muatan berat dan tempat kejadian juga merupakan kawasan laluan berbukit.
  
Ng berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.
  
Operasi menyelamat kesemua mangsa dalam kemalangan itu dibantu anggota Bomba dan Penyelamat di tempat kejadian, katanya.

malaysiakini
Categories: Blog ADUN

Pemilihan 2014: Penyakit Berpuak-puak Jejas Masa Depan Parti

15 April 2014 - 9:16am

PETALING JAYA - Pembentukan kumpulan atau pakatan antara calon yang bertanding pada pemilihan PKR kali ini bukan sahaja tidak menjamin kemenangan malah budaya itu tidak sihat kepada parti.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, pemilihan calon untuk mengisi pucuk pimpinan parti itu hanya akan ditentukan oleh anggota parti yang akan membuang undi pada 11 Mei depan.

"Pembentukan pakatan atau kumpulan tidak sihat kepada masa depan parti.

"Akhirnya yang akan menentukan masa depan parti adalah anggota parti bukan kumpulan...bukan kartel...bukan pasukan," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut tindakan Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang yang menarik diri bertanding Timbalan Presiden dan menyertai kumpulan Datuk Saifuddin Nasution, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar pada pemilihan PKR kali ini.

Selasa lalu, tiga pemimpin tertinggi PKR itu membentukan pasukan bertemakan “Masa Depan Bersama” bagi meraih sokongan anggota parti khususnya golongan muda pada pemilihan parti yang bermula pada 26 April hingga 11 Mei depan.

Mengulas lanjut, Azmin menambah, beliau bagaimanapun menyambut baik rakan-rakan pimpinan lain yang ingin menawarkan khidmat kepada parti namun ia perlu berasaskan rekod prestasi.

"Saya berharap proses pemilihan akan berjalan dengan baik teratur dan berdasarkan rekod prestasi mereka yang menawarkan khidmat kepada parti," katanya lagi.

sinarharian
Categories: Blog ADUN

Kerajaan PR Di Selangor Tampak Goyah Akibat Bekerjasa Sendirian

15 April 2014 - 9:10am

Kedudukan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor akan goyah sekiranya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim gagal mengubah cara pentadbirannya yang kini dikritik ramai pihak, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Diminta mengulas dakwaan Khalid bersikap lepas tangan, Shuhaimi seterusnya berkata Khalid tidak boleh membiarkan dirinya dicemuh atas kegagalan menyelesaikan isu-isu berkaitan pembangunan negeri dan rakyat.

"Saya minta kerajaan negeri ambil perhatian serius, bukan soal persepsi orang yang kata sambil lewa, tak jujur, tak ikhlas, lambat... Di pihak saya, kita mahu kerajaan dan seluruh agensi serius dalam menyelesaikan masalah kerana kita tak boleh bertahan dengan situasi yang sama untuk masa-masa akan datang. PRU-14 kita mungkin dihukum jika kita bersikap seperti ini.

"Kita tak boleh mempertahankan kemenangan ini dengan cara kerja kita yang dilihat oleh rakyat telah menimbulkan bibit-bibit yang kurang menyenangkan mereka. Soal tanah, pengambil alihan tanah di Rawang, PKNS, Hotel Quality, ini isu-isu yang tidak boleh dibiarkan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri," katanya ketika ditemui pemberita Antarapos di Lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, baru-baru ini.

Kebelakangan ini, Khalid kerap dikritik kerana kegagalan beliau menyelesaikan isu-isu negeri dan rakyat yang seharusnya menjadi keutamaan kepada seorang menteri besar.

Bermula dari pemecatan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Khalid kemudian didakwa mendalangi pemecatan mengejut seramai 21 kakitangan PKNS Holdings Berhad (PHSB) yang kononnya dikaitkan dengan Azmin.

Khalid kemudian diheret kepada pendirian kerajaan negeri dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan persoalan masih menangguhkan perlantikan semula Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Terbaharu, Khalid juga dilaporkan tidak menggunakan peranannya sebagai menteri besar dalam menyelesaikan kemelut pemberhentian secara mengejut 105 kakitangan Hotel Quality Shah Alam.

Shuhaimi dalam masa yang sama membangkitkan soal pemusatan tugas yang besar kepada Khalid yang akhirnya memakan dirinya sendiri atas kegagalan menjalankan tanggungjawab tersebut.

"Ada beberapa perkara menunjukkan kelemahan ketara, khususnya dalam menyelesaikan isu-isu rakyat. Contohnya berkenaan PBT yang tidak selesai, masalah sampah tak dikutip, jalan tak diturap dan sebagainya. Dah masuk penggal kedua tidak juga selesai. Sepatutnya ia selesai. Kelemahan ini patut disalahkan kepada siapa?

"Ramai berjumpa dengan kita dan berkata pemusatan kuasa yang terlalu besar kepada MB yang tidak mengagihkan dan menyerahkan kepada exco-exco tidak dilakukan dengan baik dan akan menjejaskan.

"Tiba masa kepada MB berbincang dan ambil satu tindakan untuk melihat ke bumi. Jangan fikir kita seorang tokoh yang hebat seterusnya tidak mahu dengar pandangan orang dan hanya dinasihati oleh beberapa kerat yang entah siapa-siapa yang akan meranapkan perjalanan parti," ujarnya.

Kelmarin, ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim mengutarakan hal yang sama semasa membahaskan usul titah ucapan Sultan Selangor dengan menegaskan Khalid seharusnya mewakilkan beberapa tugasnya kepada exco kerajaan negeri dan tidak melakukannya sendirian.

"Apa salahnya mewakilkan tugas untuk exco seperti Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi; Adun Sabak, Sallehen Mukhyi dan Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah... maka laporan kemajuan boleh dikemukakan setiap enam bulan?'' soal Ng lapor AntaraPos
Categories: Blog ADUN

Bekerjasa Sendirian Atau "One Man Show" Perlu Penelitian

8 April 2014 - 5:08pm


ADUN Pakatan Rakyat Selangor menegur Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwa bekerja secara bersendirian dan seolah-olah tidak percaya kepada exco dan wakil rakyat lain.

Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) berkata kelemahan kerajaan Selangor sejak 2008 akibat pemusatan kuasa di tangan Khalid sehingga exco negeri “tiada kerja”.

Beliau membangkitkan apa salahnya kita kuasa itu diagihkan kepada exco lain seperti Dr Ahmad Yunus Hairi, Sallehin Muhyi dan Seri Kembangan.

"Kita tengok sekarang exco tak ada kerja. Kuasa berpusat di satu pihak sahaja. Terlalu banyak kuasa di tangan menteri besar. Semua di tangan MB.

"Apa salah agih-agihkan kuasa kepada exco lain, Adun Sijangkang (Yunus), Sabak (Sallehin) dan Seri Kembangan (Ean Yong).

Kemudian kita tengok prestasi mereka dalam laporan setiap setengah tahun.

"Jangan jadi one man show (bekerjasa sendirian). Penyakit kita one man show," kata beliau.

Beliau yang juga ADUN Sekinchan selama tiga penggal berharap Khalid dan pentadbirannya dapat mendengar pandangan beliau.

Ng berkata demikian ketika membentangkan usul menjunjung kasih titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam. 

selangorkini
Categories: Blog ADUN

Ahli Dewan Negeri Akan Menghayati Titah DYMM Sultan Selangor

8 April 2014 - 8:30am

SHAH ALAM, 8 APRIL: Sempena pembukaan Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), 400 jemputan termasuk Exco Selangor, Yang di-Pertua daerah, dan kakitangan kerajaan negeri hadir dalam jamuan makan malam bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, di sini, semalam.

Majlis itu berlangsung di Hotel Concorde, di sini, yang bermula jam 9 malam selepas keberangkatan tiba Tengku Panglima DiRaja Sulaiman Ibni Al-Marhum Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah mewakili DYMM Sultan Selangor.

Hadirin turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan serta nyanyian lagu klasik sepanjang acara itu berlangsung.

Speaker DNS, Hannah Yeoh turut melahirkan terima kasih kepada semua yang terbabit dalam menjayakan pembukaan sidang DNS penggal kedua.

Dalam ucapannya, beliau juga turut mendoakan kesejahteraan baginda dan keluarga, selain mewakili seluruh ahli DNS berjanji akan memberikan sepenuh perhatian bagi melaksanakan segala titah baginda ketika pembukaan sidang dewan berkenaan.

“Keprihatinan tuanku dalam isu rakyat jelata akan diberikan lebih perhatian oleh kami,” katanya.
Majlis yang berlangsung kira-kira 2 jam itu turut diserikan dengan penyampaian cenderamata oleh Hannah kepada Tengku Sulaiman dan juga sesi bersalaman bersama jemputan.

selangorkini
Categories: Blog ADUN

DYMM Sultan Selangor Berharap Ahli Keluarga Mangsa MH370 Sabar Menghadapi Dugaan

7 April 2014 - 6:39pm

SHAH ALAM, 7 APRIL : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merakamkan perasaan terharu Baginda terhadap insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines, MH370 yang dimaklumkan mengakhiri penerbangannya di Lautan Hindi, bulan lalu.

Baginda turut merakamkan rasa sedih dan simpati terhadap keluarga penumpang dan krew MH370 walaupun pada masa sekarang usaha mencari pesawat berkenaan sedang giat dijalankan.

Sultan Selangor bertitah demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) kali ke-13 di sini, pagi tadi.

“Beta mendoakan supaya pencarian ini akan mendapat jawapan yang pasti dan memuaskan hati semua pihak, terutama kepada mereka yang sedang tertunggu-tunggu.

“Beta percaya Malaysia akan terus menjalankan usaha mencari jawapan yang tepat kepada tragedi yang berlaku ini.

“Beta berharap mereka akan bersabar dan redha menghadapi dugaan dan kententuan yang telah terjadi ini,” titah Baginda.

Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu disahkan berakhir di sebuah kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.

selangorkini


Categories: Blog ADUN

Kak Wan Angkat Sumpah Sebagai Ahli Dewan Negeri Kajang Hari Ini

7 April 2014 - 10:56am


SHAH ALAM 7 APRIL: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang di hadapan Speaker, Hannah Yeoh pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-13 di sini hari ini.

Majlis mengangkat sumpah yang berlangsung tepat pukul 10 pagi di Bangunan DNS itu disaksikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi, ahli Exco negeri dan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) serta Barisan Nasional (BN).

Pada 23 Mac lalu, Wan Azizah yang juga Presiden PKR memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menewaskan calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun dengan majoriti 5,379 undi.

Wan Azizah berjaya meraih sebanyak 16,741 undi, manakala Mei Fun memperoleh 11,362 undi.
PRK Kajang diadakan selepas Adun Kajang, Lee Chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan tanpa sebab pada 27 Januari lepas bagi memberi peluang kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Bagaimanapun, Wan Azizah diangkat sebagai Adun Kajang yang baru setelah menggantikan Anwar apabila ketua pembangkang itu diisytihar tidak layak bertanding ekoran didapati bersalah atas tuduhan ke smembabitkan bekas pembantu peribadinya di Mahkamah Rayuan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Lee menang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

selangorkini
Categories: Blog ADUN